Pages


Alfatihah buat mak uda ku, Almarhumah Puan Asiah Binti Marsan yang telah selamat kembali ke rahmatullah pada jam 4.30 pagi Jumaat semalam. Beliau di kejarkan ke Hospital Besar Kota Tinggi pada awal jam 3 pagi setelah mengadu sakit perut, kemudian di sahkan meninggal oleh doktor kerana sakit paru-paru berair. Baru minggu lalu menyambut hari ulang tahun kelahirannya yang ke-59 pada sabtu, 23 Jan 2010. Kali terakhirku sempat berjumpa dengan beliau dalam sebuah majlis perjumpaan keluarga pada 27 Dis 2009, beliau dan suami merupakan penggerak utama majlis tersebut.

Jenazah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Felda Air Tawar 4 senelum solat jumaat. Semoga Allah merahmati dan membalas keikhlasan Almarhumah Asiah Binti Marsan sepanjang kehidupan dengan amal soleh dan menanti Cinta Allah dan Rahmat-Nya di syurga, Insya Allah..

Bismillahirrahmanir rahim...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani

Salam sejahtera buat calon zaujahku yang dihijab pertemuan olehNya sehingga detik kita disatukan dengan lafaz ijab bersaksi qabul berwali. Semoga langkahmu tangkas dengan semangat juang Islam. Walau apapun yang kita lakukan, dasarilah ia dengan memohon keredhaanNya supaya setiap langkah itu beroleh keberkatan.

"Ya Allah, gembirakanlah aku dengan redhaMu"

Kukira untaian doa srikandi iman, Sayyidah Nafisah binti Hasan bin
Zaid bin Hasan bin Ali bin Abu Thalib ini mampu menyuburkan hatimu
dengan Nur KasihNya.

"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikannya di antaramu rasa kasih dan sayang.¨ (Ar-Rum: 21)

Telah dikhabarkan bahawa engkau adalah calon yang sekufu untukku, bakal menjadi peneman solehah bersamaku merentas becaknya denai-denai perjuangan Islam ini. InsyaAllah. Kesesuaian ini telah kupohon dalam setiap doaku padaNya, dalam setiap sujudku, dalam setiap ibadah hajat dan istikharahku selama ini. Tanpa jemu walaupun pertemuan itu masih dirahsiakan. Besar kurniaanNya kepada kita. Hijab itu membolehkan aku dan kau melengkapkan diri masing-masing dengan bekalan agama agar baitul muslim kita nanti tidak suram dengan Nur keimanan yang malap.

Calon zaujahku yang dirahmati,

"Dinikahi seorang wanita itu kerana empat perkara hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah hal keagamaannya, maka beruntunglah kedua-dua tanganmu.."

Bukan harta yang kuperlukan, bukan keturunan yang menjadi keutamaan, bukan kecantikan yang kuidamkan, tetapi kefasihan agamamu itu yang aku dambakan. Itulah hikmah sekufu yang menjadi asas usrah muslim antara aku, kau dan anak-anak pewaris ketauhidan Islam dalam mengESAkan Allah Yang Satu.

"Hai manusia, sesungguhnya Kami ciptakan kamu dan lelaki dan perempuan dan menjadikan kamu berbangsa--bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi maha Mengenal." (Al-Hujarat: 13)

Sirah telah membuktikan bahawa seorang Khalifah mulia menjodohkan puteranya dengan seorang gadis penjual susu lantaran iman yang kuat menjadi benteng gadis itu daripada menderhakai Allah. Akhlak indah yang menjadi pakaian gadis suci itu membuatkan hati Khalifah terpaut. Inilah kisah yang ingin aku kongsikan denganmu wahai calon zaujahku. Pada suatu malam Khalifah Umar Ibnu Khattab sedang membuat tinjauan terhadap rakyat-rakyatnya. Sampailah Umar ra. di sebuah rumah penduduk, ketika itu mereka sedang berbincang tentang sesuatu. Umar mendengar semua perbincangan mereka.

Seorang ibu berkata kepada anak perempuannya: "Anakku bangunlah, serta campurkanlah susu itu dengan air. Puterinya menjawab: Apakah ibu belum mendengar larangan daripada Amirul Mukminin itu? Ibu itu bertanya lagi:"Apakah larangan Amirul Mukminin itu?" Puterinya menjelaskan: "Wahai ibu, sesungguhnya Amirul Mukminin melarang umat Islam menjual susu yang dicampurkan dengan air"Ibu itu berkata lagi: "Cepatlah engkau campurkan susu itu dengan air, tak usahlah kamu takut dengan Saidina Umar, kerana ia tidak melihatnya" Puterinya menjawab: "Wahai ibuku, memang Umar ra. tidak melihat kita, tetapi Tuhan yang disembah Umar melihat kita.

Maafkan saya wahai ibuku, kerana tidak dapat mematuhi permintaanmu. Saya tidak mahu menjadi orang yang munafik mematuhi perintah di hadapan orang ramai, tetapi melanggarnya apabila di belakang mereka."Khalifah Umar ra. yang terkenal tegas itu menjadi terharu hatinya. Umar ra. merasa bangga dengan ketaqwaan gadis miskin penjual susu tersebut. Setelah pagi, Saidina Umar memerintahkan puteranya Ashim supaya pergi ke rumah gadis tersebut.

"Wahai anakku, pergilah engkau ke sebuah rumah penduduk, di dalamnya ada gadis penjual susu, jika ia masih sendiri, pinanglah ia. Mudah-mudahan Allah akan memberikan kurnia kepadamu anak yang soleh."

Ternyata dugaan Saidina Umar ra. itu benar sekali. Ashim menikah dengan wanita yang mulia tersebut dan mendapat seorang anak perempuan yang bernama Ummu Ashim. Kemudian Ummu Ashim berkahwin dengan Abdul Aziz bin Marwan, dan mereka mendapat seorang anak lelaki yang bernama Umar bin Abdul Aziz, yang kemudian menjadi seorang khalifah yang terkenal dan bijaksana.

Jika asas baitul muslim itu kukuh, tidak mustahil ia mampu melahirkan pejuang-pejuang agamaNya yang berpedangkan taqwa dan berperisaikan iman. Di hati mereka bercahaya dengan kasih sayang Ilahi kerana mereka lahir daripada bait penyatuan dua jiwa yang hidup berbumbungkan sunnah berpelitakan al-Quran, berdindingkan wasatiah dan qanaah. Itulah hakikat sebuah baitul muslim.

Calon zaujahku yang telah dijanjikanNya ,

" Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka".(An- Nissa':34)

Surah yang diberikan kemuliaan buatmu dan insan yang bergelar wanita. Istimewanya dirimu sehinggakan Allah menukilkan pesananNya dalam surah khusus buatmu. Dan itulah janji-janji Allah bahawa seorang wanita yang solehah itulah mutiara syurga buat suaminya walaupun kekayaan duniawi tidak terhampar di kakimu.

Maafkan aku kiranya tiada harta yang mewah, mutiara atau kilauan permata kupersembahkan dalam hidupmu. Tetapi, aku hanya mampu menjanjikan hantaran yang paling berguna untuk kita berdua sepanjang zaman. Itulah panduanNya, Qalamullah. Islam menegaskan agar ku ajar dirimu mengenal Allah, zat yang agung. Itulah kunci kesempurnaan yang hakiki.

Seringkali kau mengeluh, kau hanya insan lemah. Sedarilah bakal isteriku, kelemahanmu itu adalah kekuatan yang dikurniakan Allah buatmu. Dari kelemahan itu, terletaknya rahim yang telah melahirkan seorang Rasul, seorang Nabi, seorang abid dan juga pejuang jihad yang Allah janjikan syurga demi setitis darah mereka.

Ia lahir daripada jerih doamu, penat sabarmu dan lelah tabahmu. Akal setipis rambut, tebalkan dengan ilmu.Hati serapuh kaca,kuatkan dengan iman. Perasaan selembut sutera,hiasilah dengan akhlak. Bantulah aku dalam mentakrifkan pernikahan ini. Semoga ia menjadi wasilah sebuah pembangunan insaniyyah yang akan menjadi khemah dakwah dan tarbiyyah.

Bakal isteriku yang dirahmati,

Titipan ini sudah sampai ke penghujungnya. Namun, doaku padamu tidak pernah berakhir. Seperti doaku padaNya, moga saf antara aku dan dirimu akan bersama-sama melalui siratulmustaqim yang lurus menuju jannahNya yang dirindui. InsyaAllah. Andai ada ingatan darimu, pohonkan dariNya moga aku terus tegak dalam memperjuangkan kalimahNya walau dijengah mehnah lantaran zaman ini adalah pengakhiran sebuah destinasi.. Dunia sudah terlalu tua, ia hanya menanti masa.

Salam buat teman solehahku...

Yang Benar,
bakal suamimu.
Related Posts with Thumbnails