Pages


Dalam kita melalui saat yang sangat getir dalam perjuangan oleh fitnah dan ancaman politik oleh pihak musuh marilahlah kita renungkan sebentar sejarah kepimpinan yang lampau semoga apabila kita mengimbas kembali perjuangan mereka sedikit sebanyak memberikan kita berfikir dengan waras dalam memperkukuhkan lagi perjuangan Islam yang menuntut hak dan yang bathil.

Burhanuddin Al-Helmy mendapat pendidikan awal di kelas Al-Quran dan agama dan sekolah Melayu. Dia dihantar ke Sekolah Agama Sungai Jambu, Sumatra Barat pada tahun 1924 hingga 1926. Pada tahun 1926, Burhanuddin Al-Helmy meneruskan pelajarannya di Pondok Pulau Pisang, Jitra, Kedah. Seterusnya dari situ ke Madrasah Al-Masyhur Al-Islamiah, Pulau Pinang hingga tamat kelas senawi pada tahun 1934.

Burhanuddin Al-Helmy telah mendapat biasiswa seorang hartawan India muslim dari Pulau Pinang untuk melanjutkan pelajarannya di Universiti Aligarh. Di universiti tersebut Burhanuddin Al-Helmy mengambil bidang sastera dan falsafah.

Beliau dianugerahkan PhD daripada Universiti Aligarh, India.

Sekembalinya dari pelajarannya di India dan pengembaraannya ke Palestin dan Turki, Burhanuddin Al-Helmy kembali bertugas sebagai guru bahasa Arab di Sekolah Arab Al-Juned Singapura.

Ketika di Singapura, Burhanuddin Al-Helmy belajar ilmu perubatan homeopati daripada Dr. Rajah dan beliau telah berjaya mendapat ijazah daripada Ismailiyah Medical College, Hyderabad, India.

Dengan kelayakan ini, Burhanuddin Al-Helmy telah membuka sebuah klinik di Johor Bahru dan sebuah lagi klinik di Jalan Picitan, Singapura.

Seorang Aktivis Dakwah dan Politik

Pembabitan awal Burhanuddin Al-Helmy: · Penerbit majalah Taman Bahagia, Singapura · Penyunting majalah Kehidupan Dunia Akhirat, Singapura · Ahli Persatuan Jama’atul Islamiah · Ahli Kesatuan Melayu Muda (KMM), 1939 · Penasihat Adat Istiadat dan Kebudayaan Melayu semasa pendudukan Jepun · Pemimpin Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS), 1945 · Ketua Umum Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), 1945 · Pengerusi PUTERA-AMCJA, 1947 · Ahli Jawatankuasa Perhubungan Bangsa-bangsa Asia, 1947 · Ahli pengasas PEPERMAS, 1947 · Ahli pengasas MATA, 1947 · Ahli pengasas Hizbul Muslimin, 1948 · Wakil Malaya di Persidangan Afro-Asia Bandung, 1955 · Jurucakap Barisan Kebangsaan Melayu, 1955 · Melancarkan penubuhan Parti Rakyat Malaya, 1955

Pengaruh Awal Pemikiran

Semasa belajar di Jambu, Sumatera Barat (1924-1926), Burhanuddin Al-Helmy berada di bawah asuhan Haji Nuruddin, anggota Sarekat islam Indonesia. Di samping itu guru-guru yang mengajar dan mendidik beliau di sana terdiri di kalangan aliran Kaum Muda.

Semasa di Madrasah Al-Masyhur Al-Islamiah, Kepala Batas, Burhanuddin Al-Helmy juga terdedah dengan pemikiran Kaum Muda. Aliran inilah yang telah menyalakan semangat anti-penjajah dan pro-kemerdekaan dalam diri beliau.

Semasa belajar di India pula pada tahun 1928, Burhanuddin Al-Helmy mengikuti pergerakan Mahatma Gandhi serta berkenalan dengan Mohd Ali Jinnah dan Pandit Nehru dan pemimpin-pemimpin kemerdekaan India yang lain.

Selepas tamat pelajarannya di Universiti Aligarh, India Burhanuddin Al-Helmy telah mengembara ke Palestin dan Turki. Beliau mengikuti perkembangan umat Islam di sana.

Ketika di Singapura, Burhanuddin Al-Helmy telah bergiat cergas dalam pergerakan-pergerakan Islam di pulau tersebut. Beliau menerbitkan majalah Taman Bahagia yang bercorak anti-British yang akibatnya dia ditahan oleh pihak British di sana.

Selepas itu, Burhanuddin Al-Helmy terus bergiat pula dengan persatuan Jama’atul Islamiah dan menjadi penyunting majalah Kehidupan Dunia Akhirat.

Ditahan dan Merengkok dalam Penjara

Selepas tamat pelajarannya di India, Burhanuddin Al-Helmy mengembara ke Palestin dan Turki. Semasa di Turki belaiu ditahan kerana terlibat dalam gerakan anti-British di sana.

Ketika di Singapura pada pertengahan 1930an, Burhanuddin Al-Helmy telah menerbitkan majalah Taman Bahagia yang bercorak anti-British. Satu jam selepas edisi pertama majalah ini diterbitkan, beliau ditahan oleh pihak British. Beliau dipenjarakan selama enam bulan.

Terdapat juga catatan yang menyatakan beliau dibebaskan selepas membayar wang ikat jamin sebanyak $1,000.

Pada tahun 1950, Burhanuddin Al-Helmy telah ditahan oleh British akibat Peristiwa Natrah. Dia dituduh terlibat dalam demonstrasi menentang keputusan Mahkamah Tinggi Singapura yang membenarkan Natrah (Maria Hertogh) dipulangkan kepada keluarga asalnya di Belanda.

Dia telah dipenjara selama satu tahun. Namun, terdapat juga catatan yang menyatakan beliau dipenjarakan selama tiga tahun di Singapura ekoran peristiwa tersebut, iaitu dari dari tahun 1950 hingga 1952.

Terdapat catatan yang peristiwa Natrah itu hanya sebagai alasan bagi pihak British menahan Burhanuddin Al-Helmy.

Sebenarnya Burhanuddin Al-Helmy ditahan oleh British kerana semasa Darurat pada 1948, beliau menyeru secara terbuka orang Melayu jangan menyerang kaum gerila Cina yang berjuang melawan British di dalam hutan.

Peristiwa Natrah hanya dijadikan alasan oleh pihak British. British tidak boleh menahan Burhanuddin Al-Helmy yang bergiat masa itu di Singapura kerana pulau tersebut tidak tertakluk kepada undang-undang Darurat yang hanya dikuatkuasakan di Semenanjung Tanah Melayu.

Burhanuddin Al-Helmy menentang penubuhan Malaysia pada tahun 1963. Ini menyebabkan dia ditahan di bawah ISA pada bulan Januari 1965 kerana dituduh terlibat dalam kerajaan buangan di Riau, Indonesia.

Burhanuddin bin Al-Helmy jatuh uzur semasa dalam tahanan. Pada bulan Mac 1966, beliau dibebaskan bersyarat dan dikenakan sekatan kawasan. Di antara syaratnya adalah beliau tidak dibenarkan melibatkan diri dalam politik. Syarat tersebut ditarik balik hanya pada 22 September 1969.

Tokoh Perjuang Kemerdekaan

Dr. Burhanuddin Al-Helmy adalah antara tokoh ulung perjuangan kemerdekaan. Beliau bergiat cergas dalam KMM dengan tujuan menentang penjajahan British. Semasa pendudukan Jepun, Burhanuddin Al-Helmy dan beberapa orang rakannya mengambil strategi licik. Ini diungkapnya sebagai:

”Maka ahli-ahli kebangsaan Melayu kiri telah mengambil langkah Musa dalam istana Firaun. Ada yang tinggal di dalam, ada yang tinggal di luar mengambil bahagian di hutan di ruimba jadi anti-fascist ada yang menjalankan gerakan rayap – semut api – harimau dan sebagainya”

Dengan sokongan pihak Jepun, beliau bersama-sama Ibrahim Yaacob memimpin KRIS membuat persetujuan dengan Seokarno dan Mohd Hatta di Taiping untuk mengisytiharkan kemerdekaan serentak di Tanah Melayu dan Indonesia pada 17 Ogos 1945.

Tetapi Jepun menyerah kalah pada 14 Ogos 1945.

Seokarno meneruskan rancangannya mengisytiharkan Indonesia merdeka dari Belanda pada 17 Ogos 1945.

Dr. Burhanuddin Al-Helmy tidak dapat berbuat demikian memandangkan perkembangan yang amat berbeza di Tanah Melayu ketika itu.

Selepas Jepun berundur, PKMM ditubuhkan sebagai satu kesinambungan daripada KMM. Dr. Burhanuddin Al-Helmy menjadi Ketua Umum PKMM yang pertama.

Semasa diadakan kongres PKMM ke-2 di Melaka pada Disember 1946, Dr. Burhanuddin Al-Helmy telah disambut hebat oleh pelbagai lapisan kaum di sana. Dalam ucapan tersebutlah Burhanuddin Al-Helmy melafazkan pantun pusakanya yang terkenal:

Di atas robohan Kota Melaka; Kita Dirikan Jiwa Merdeka; Bersatu padulah segenap baka; Membela hak keadilan pusaka.

Pembabitan Burhanuddin Al-Helmy dalam PUTERA, PEPERMAS, MATA dan Hizbul Muslimin sepanjang tahun 1947-1948 adalah juga dengan tumpuan menyemarakkan perjuang mencapai kemerdekaan Tanah Melayu.

Di antara kemuncak perjuangannya menuntut kemerdekaan adalah apabila Burhanuddin Al-Helmy sebagai pengerusinya telah menerajui Sepuluh Dasar PUTERA-AMCJA beserta bendera merah putih duabelas bintang kuning sebagai melambangkan Malaya Merdeka. Pembabitannya melancarkan Parti Rakyat Malaya sebaik sahaja Ahmad Boestamam dibebaskan dari penjara pada tahun 1955 juga adalah dalam konteks menuntut kemerdekaan Tanah Melayu.

Pada masa itu politik kiri adalah bermaksud anti-British. Mereka yang mengambil sikap no-cooperation terhadap penjajah British di anggap sebagai ”kiri”. Sedangkan mereka yang bersikap cooperation seperti UMNO, dianggap ”kanan”.Menyertai dan Memimpin PAS

Ketika PAS ditubuhkan pada bulan Ogos 1951, Dr. Burhanuddin Al-Helmy masih dalam tahanan penjara di Singapura. Apabila Yang Dipertua Agung Pas yang pertama, Ustaz Ahmad Fuad melepaskan jawatannya pada tahun 1953 tugas memimpin PAS diambilalih oleh Dr. Hj Abbas Alias. PAS di bawah kepimpinan Dr. Abbas tidak begitu lama, iaitu hanya selama 3 tahun 2 bulan sahaja. Ini adalah disebabkan Dr. Abbas tidak dapat bergerak aktif kerana masih terikat dengan jawatannya di dalam perkhidmatan kerajaan, iaitu sebagai seorang pegawai perubatan. Angkatan muda dalam PAS pada masa itu yang antaranya terdiri daripada Ustaz Othman Abdullah, Ustaz Hasan Adli, Ustaz Abdul Wahab Noor dan Mohd Asri Muda telah mengadakan mesyuarat tidak rasmi berhubung dengan jawatan utama PAS. Mereka bersepakat bahawa tidak ada orang yang lebih tepat memimpin PAS pada masa itu selain daripada Dr. Burhanuddin Al-Helmy. Ketika itu, Dr. Burhanuddin Al-Helmy hanya bergiat cergas mempromosi Parti Rakyat Malaya di seluruh Tanah Melayu. Ini bermakna, Dr. Burhanuddin Al-Helmy tidak ada sebarang jawatan dalam mana-mana parti politik. Pada bulan Disember 1956 satu perwakilan yang terdiri daripada Ustaz Abdul Wahab Noor dan Ustaz Baharuddin Latiff telah diutus bertemu Dr. Burhanuddin Al-Helmy. Beliau bersetuju untuk menyertai PAS. Terdapat juga catatan yang menyatakan bahawa tugas ini dilaksanakan oleh Pesuruhjaya PAS Johor, Hj Said Abdul Hadi yang diamanahkan oleh Ustaz Hasan Adli untuk mendapatkan persetujaun bertulis daripada Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan meminta beliau mengisi borang PAS. Walau bagaimanapun, sebelum itu pun memang sudah terdapat persetujuan tidak rasmi di kalangan mereka bertiga agar Ahmad Boestamam menerajui Parti Rakyat Malaya, Ishaj Haji Muhammad (Pak Sako) menerajui Parti Buruh dan Burhanuddin bin Al-Helmy menerajui PAS. Jadi pelawaan daripada pemimpin-pemimpin PAS kepada Burhanuddin Al-Helmy adalah tepat pada masanya.

Demokrasi dalam PAS Setahun sebelum Dr. Burhanuddin Al-Helmy menyertai PAS, beberapa orang pemuda juga telah pergi ke Kuala Kangsar untuk bertemu dengan Prof Zulkifli Muhammad. Tujuan mereka adalah untuk mempelawanya menyertai PAS.

Prof Zulkifli Muhammad menjadi calon PAS dalam pilihanraya 1955.

Dalam Muktamar PAS ke-5 pada 25 Disember 1956, terdapat dua pencalonan bagi jawatan Yang Dipertu Agung, iaitu Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan Prof. Zulkifli Muhammad.

Daripada kawasan-kawasan Prof Zulkifli Muhammad mendapat pencalonan yang lebih banyak daripada Dr. Burhanuddin Al-Helmy.

Keadaan ini adalah disebabkan terdapat ahli-ahli PAS pada masa itu yang bimbang dengan latarbelakang politik Dr. Burhanuddin Al-Helmy sebelum menyertai PAS.

Sebahagian ahli PAS lebih selesa jika PAS dipimpin oleh Prof Zulkifli Muhammad memandangkan beliau seorang tokoh muda yang sangat karismatik dan pernah belajar agama di Mesir. Dalam pemilihan jawatan tertinggi PAS dalam Muktamar ke-5 itu, Dr. Burhanuddin Al-Helmy telah berjaya menewaskan pencabarnya, iaitu Prof Zulkifli Muhammad. Pertandingan bagi jawatan tertinggi parti di antara kedua tokoh besar ini menunjukkan kematangan ahli-ahli serta amalan dan suasana demokrasi dalam PAS sejak awal-awal penubuhannya. Muktamar seterusnya memilih Prof Zulkifli Muhammad menjadi Timbalan Yang Dipertua Agung PAS. Gabungan mereka berdua inilah yang terus memantapkan PAS. Selepas diberikan amanah memimpin PAS, Dr. Burhanuddin Al-Helmy menunjukkan betapa gigihnya beliau melaksanakan tugas tersebut. Pimpinan Dr. Burhanuddin Al-Helmy dalam PAS adalah yang paling lama jika dibandingkan dengan tempoh beliau berada dalam mana-mana parti terdahulu yang disertanya. Malah hayatnya ditutup dalam PAS. Bahkan pada zamannya juga PAS berkembang dengan luasnya. Tugas memimpin PAS dilaksanakan oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmy walaupun sebahagian dari tempoh ini dilaluinya semasa menjalani penahanan dan sekatan tanpa bicara di bawah ISA. Seorang Demokrat Berperlembagaan Selaras dengan dasar PAS mengambil bahagian dalam pilihanraya untuk mendapatkan suara rakyat bagi mengukuhkan perjuangan Islam, Dr. Burhanuddin Al-Helmy telah menjadi calon PAS dalam pilihanraya 1959. Beliau menang dan menjadi wakil rakyat Pas bagi kerusi Parlimen Besut, Terengganu. Pada masa itu sistem pilihanraya Dewan Undangan Negeri dijalankan mengikut negeri ke negeri. Negeri paling akhir selepas Terengganu adalah Kelantan. Dengan sistem seperti ini, Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan pimpinan PAS telah menyusun tenaga kerja jentera PAS dipindahkan dari satu negeri ke satu negeri.

Di Dewan Undangan Negeri Terengganu, PAS menang 13 daripada 24 kerusi dan berjaya membentuk kerajaan negeri di Terengganu. Manakala di peringkat Parlimen pula, calon-calon PAS menang empat kerusi, iaitu Ustaz Hasan Adli di Kuala Terengganu Utara, Khadijah Sidek di Dungun, Harun Pilus di Terengganu Tengah dan Dr. Burhanuddin Al-Helmy di Besut. Dengan kemenangan ini, PAS di bawah pimpinan Dr. Burhanuddin Al-Helmy menggunakan kempen ”Kalau di Terengganu PAS boleh menang, kenapa Kelantan tidak?” Ternyata taktik ini berkesan sekali sehingga PAS memenangi 28 daripada 30 kerusi Dewan Undangan Negeri dan berjaya membentuk kerajaan di Kelantan.

PAS juga memenangi sembilan daripada sepuluh kerusi Parlimen di Kelantan. Dalam konteks yang lebih luas, Dr. Burhanuddin Al-Helmy juga telah mempertahankan amalan demokrasi di atas dasar Perlembagaan yang sedia ada. Di atas sebab itu beliau menentang penubuhan Malaysia. Baginya, penubuhan Malaysia adalah bertentangan dengan konsep Persekutuan yang memberi ruang yang luas bagi pembangunan setiap negeri di bawahnya. Menurutnya, dengan wujudnya Malaysia, maka ”mahu tidak mahu Kelantan menjadi satu bahagian di bawah kekuasaan Malaysia”. Dr. Burhanuddin Al-Helmy mahu kerajaan Pusat bersikap lebih demokratik dengan merundingkan penubuhan Malaysia dengan kerajaan negeri terlebih dahulu. Di bawah pimpinannya, kerajaan PAS Kelantan telah mengheret isu Malaysia ke mahkamah bagi mendapatkan injuksi penanguhan pembentukan Malaysia. Ternyata pendekatan dan ketokohan Dr. Burhanuddin Al-Helmy serta pemimpin-pemimpin PAS yang lain pada masa itu amat diterima rakyat, khasnya di kalangan kaum Melayu. Kejayaan PAS dalam pilihanraya 1959 juga membuktikan PAS adalah sebuah parti politik dan gerakan Islam yang bersedia memanfaatkan saluran sistem demokrasi yang bersesuaian dengan Islam bagi tujuan memajukan Islam, rakyat dan negara. Di atas kejayaan ini, kerajaan Perikatan menggunakan taktik kotor untuk menghalang kemaraan PAS di bawah pimpinan Dr. Burhanuddin Al-Helmy. Satu langkah licik telah digunakan untuk menghalang Dr. Burhanuddin Al-Helmy daripada mempertahankan kerusi Parlimen Besut. Dalam pilihanraya 1964, Suruhanjaya Pilihanraya telah mengisytiharkan Dr. Burhanuddin Al-Helmy tidak layak bertanding kerana telah didenda sebanyak $25,360 oleh sebuah mahkamah atas satu kesalahan teknikal dalam sebuah syarikat perniagaan. Sumbangan kepada Gerakan Islam Dr. Burhanuddin Al-Helmy adalah seorang pemimpin politik Islam yang mendahului zamannya. Beliau adalah seorang yang progresif, realistik, berpandangan global serta sentiasa bertindak berpandukan prinsip-prinsip Islam. Beliau progresif kerana beliau menolak sebarang bentuk dan unsur kolonialisme. Motivasi utama dalam perjuangan politiknya dalah untuk memerdekan rakyat Tanah Melayu – bahkan seluruh bumi Asia – daripada penjajahan, sama ada penjajahan dari Barat mahupun dari Timur. Beliau realistik kerana belaiu sentiasa bersikap terbuka dan bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak – parti politik bukan Melayu atau bukan berasaskan Islam – yang memiliki cita-cita dan tujuan yang sama, iaitu untuk sama-sama mencapai matlamat perjuangan membebaskan rakyat daripada penjajahan. Dari satu sudut Dr. Burhanuddin Al-Helmi adalah seorang ahli politik yang bersikap praktikal dan realistik kalaupun tidak pragmatik. Pendekatannya terbuka. Pengalaman silamnya sebelum menerajui PAS yang sentiasa bersedia bekerjasama untuk mengejar cita-cita bersama – iaitu kemerdekaan – telah berjaya menempatkan PAS dalam kancah arus perdana politik negara pada masa itu. PAS dilihat ada kelainan tetapi tokoh PAS ini tidak lain dan asing bagi mereka yang sama-sama mahu mengejar cita-cita kemerdekaan. Pakatan politik yang diwujudkan olehnya dengan parti-parti bukan Melayu dan bukan berasaskan Islam telah melonjakkan PAS sebagai sebuah parti yang berjuang di atas satu ideologi yang jauh lebih jelas daripada UMNO. Kelainan inilah yang sebut oleh pimpinan PAS hari ini sebagai aqidah perjuangan. Dalam bahasa Dr. Burhanuddin Al-Helmy ia disebut sebagai ideologi perjuangan. Ini kerana pada masa pemimpin-pemimpin UMNO terperangakap dengan persoalan politik perkauman dan perjuangan kebangsaan yang sempit, PAS di bawah pimpinan Dr. Burhanuddin Al-Helmy berjaya meyakinkan rakyat bahawa akar umbi masalah rakyat Tanah Melayu adalah warisan penjajahan yang berupa penindasan ekonomi dan politik serta sistem kapitalis global yang menindas dan memperhambakan pribumi tanah jajahan. Dr. Burhanuddin Al-Helmy juga mendedahkan kepincangan masyarakat apabila sejumlah elit politik pribumi bersekongkol melindungi dan mempertahankan penindasan sistem penjajah ini. Karya dan Penulisan Dr. Burhanuddin Al-Helmy telah menghasilkan buku yang bercorak politik antaranya: • Perjuangan Kita, 1946 • Falsafah Kebangsaan Melayu, 1947 • Agama dan Politik, 1954, • Ideologi Politik Islam, 1957 Namanya Diabadikan Dr. Burhanuddin Al-Helmy meninggal dunia pada 25 Oktober 1969 berpunca daripada serangan lelah. Sebenarnya Dr. Burhanuddin Al-Helmy telah jatuh sakit semasa dalam tahanan ISA. Ketika beliau dibebaskan dengan sekatan kawasan pada tahun 1966, penyakitnya masih belum sembuh. Namanya diabadikan di sebuah sekolah di Taiping dan nama jalan di Taman Tun Dr. Ismail, Damansara, Selangor. Beliau dianugerah pingat emas Commander of World Order of Human Merit daripada I’Ordre Universal du Merit Human, Geneva pada 15 November 1959 di atas sumbangannya dalam pembangunan perubatan homeopati.


Saudara Darus Salam

Sahabat seperjuangan .

Sahabat ! , hadhirnya kalian bertapak di atas satu wadah dan satu manhaj perjuangan dengan diriku ini , menjadikan diri ini kian bertenaga meredah ranjau dan berasa bangga menggalas wasiat perjuangan .

Demi Allah ! tidak mungkin dapat saya lupakan persahabatan yang terjalin antara kita biarpun kemesraannya hanya seketika , namun kenangannya telah terukir di sanubari ini . Semoga persahabatan kita terus berkekalan dan apa yang paling penting , ia menjadi asset bernilai tinggi buat perjuangan yang kita dokong ini.

Tatkala Ramadhan kembali menjelma bersama Rahmat Ilahi yang mencucuri hambanya yang soleh dan bertaqwa , hati ini hiba dalam rindu dendam terhadap semua insan yang bernama “sahabat seperjuangan” .


Iftar Jamae’i

Alangkah indahnya Ramadhan edisi ini , andai saya dapat meraikannya di samping sahabat seperjuangan . Masih segar dalam ingatan saya , bagaimana kita menceria dan menghidupkan Ramadhan silam dengan Iftar Jamaei yang mengandungi pelbagai aktiviti .

Mengerat Taqarrub dengan wirid al Ma’thurat.
Mengukuh Ribat dengan doa Rabitah .
Mempertaut Kasih dengan Taaruf Mesra .
Menghening Petunjuk dengan Tadarrus .
Memperkaya Ganjaran dengan Taawwun .
Menghalus Budi dengan Nasihat .
Mengingat Hati dengan Wasiat .
Menjati Diri dengan Motivasi .
Menyihat badan dengan Riadhah .
Menceria Rasa dengan Berbuka .
Merapat Hubungan dengan Solat Jamaah
Memperkasa Semangat dengan Tazkirah .
Memantap Jiwa dengan Qiamulail .
Menambah Ilmu dengan Kuliah
Menghakis Hasad dengan Salam .


Madrasah Ramadhan .

Masih ingatkah sahabat , bagaimana kita lalui Ramadhan silam ? Sejurus kita mendaftarkan diri pada 1 Ramadhan , kita jalani hidup ini dengan penuh disiplin laksana berada di sebuah Madrasah .

Sebahagian besar dari hari – hari yang berlalu , kita programkan bersama dengan meletak marhalah atau peringkat yang selayaknya. Kita kemukakan silibus dan kita lengkapkan tentative dengan perlaksanaan dan penghayatan bersama untuk graduate dari madrasah ini sebagai Insan Muttaqin dan Rijal Tarbawi .

Ramadhan dihayati dengan skimanya yang tepat sebagaimana dikehendaki oleh Allah Jalla wa A’la .

Nafsu dan penguasaan Syaithan dikekang dengan berPuasa.

Semangat Jihad dijana bersama Tarbiyyah Ghazwatul Badar

Keimanan ditajdid melalui penghayatan Nuzul al Quran .

Sikap optimistic terhadap Islam ditempa dengan Ruh Fathul Makkah.

Mengharap Redho dan Keampunan Ilahi melalui ruang Lailatul Qadar.

Kemenangan dirai berpaksi Aqidah tanpa leka di Pagi Syawal.


Ramadhan membentuk peribadi Pejuang.

Justeru itu , renunglah aduhai sahabat ku , sempena kita bersama menuntut di Madrasah atau University of Ramadhan ini sekalipun kita berlainan faculty , kita masih mampu bersua dan berbincang , bersahabat dan bermesra kerana matlamat kita satu , iaitu graduate sebagai Insan Muttaqin .


Wahai orang – orang yang beriman ! diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana ianya diwajibkan ke atas mereka yang terdahulu , semoga mereka bertaqwa kepada Allah swt.

Al Baqarah : 183


Kesempatan ini selayaknya digunakan sebaik mungkin guna menatah syakhsiyyah solehah . Satu keperibadian atau syakhsiyyah yang melayakkan seorang pejuang menyandang statusnya.

Kita tidak mahu dilabel sebagai seorang pejuang yang mengalami krisis kualiti dan identity . Pejuang yang hanya memiliki “lesen terbang” untuk terjun ke medan , sementara mereka terlalu jauh dari tahap keupayaan sebenar sebagai seorang pejuang Islam .

Krisis kualiti dan identity ini jangan dipandang rendah oleh semua individu yang berhasrat untuk terjun ke medan justeru medan perjuangan bukan pentas pentomen , juga bukan aksi lasak wayang gambar .

Sebaliknya perjuangan ini mendambakan pejuang yang sedia dengan segala komitmen . Bermula dengan :

pembinaan aqidah yang jitu ,
peribadi yang soleh ,
fikrah yang mantap ,
fizikal yang tabah ,
semangat yang ampuh ,

hinggalah ke tahap rela dan sedia untuk mengorbankan darah dan nyawa demi agama Allah swt.

Ramadhan menyediakan segala pakej pembinaan dan pengkaderan tersebut . Satu pakej yang siap dengan modus operandinya yang menepati jadual perlaksanaan.

Menjelang 1 Syawal kelak , ia merupakan hari konvokesyen buat semua siswa / siswi university of Ramadhan dan menerima pengiktirafan sebagai Graduate University of Ramadhan .

Mereka yang gagal , bukan sahaja tidak berhak menerima pengiktirafan tersebut di hari lebaran , sebaliknya ia terpaksa menunggu setahun berikutnya untuk memperbaiki prestasi .

Islam memberi peluang kedua . Persoalannya , apakah kita benar – benar mampu manafaatkan peluang dihadapan kita kini atau kita hanya akan mensia – siakan peluang tersebut biarpun peluang kedua , ketiga , keempat dijanjikan .

Sahabat ku ! bangkitlah …..


Ramadhan Kareem !

dipetik dan diubahsuai oleh :kakashi sensei

Related Posts with Thumbnails