Pages


(Gambar: Hari Graduasi)

Dah seminggu cuti sekolah bermula, namun tak terasa dek kesibukan tugasan jamaah yang menimbun tertangguh sekian lama. Seminggu terakhir, kami warga sekolah menghadapi suasana genting dalam melaksanakan tugasan terakhir bagi sesi persekolahan 2010. Masa ni la, masing-masing kelam-kelibut mengemaskini buku rekod mengajar, buku adab belajar murid, surat berhenti sekolah, SKT (Sasaran Kerja Tahunan) dll. Semalam adalah last day to submit SKT. Tahniah diucapkan kepada rakan sejawatku, Ust. Amin kerana berjaya juga akhirnya.. Seminggu terakhir juga, berlangsungnya majlis graduasi bagi murid Pendidikan Khas ku. Majlis ni bertujuan untuk meraikan mereka yang telah tamat pengajianya di sekolah rendah dan seterusnya akan melangkah ke sekolah menengah. Majis berjalan dengan lancar dan jayanya, namun di saat ku tayangkan video ini, suasana diselubungi rasa sedih. Tidak sedikit che’gu-che’gu dan hadirin yang lain menumpahkan air mata. Sedih akan berpisah dengan mereka yang ISTIMEWA ni.. Terlalu banyak kenangan dan memori indah tersemat cemat indah dalam benak hati dan minda ini, sukar untuk dilupakan. Senyum, tawa, suka, duka, sedih, riang, gembira kita bersama di bumi Pintas Raya. Akan terasa sunyi, bila tidak lagi dengar ketawa girang mereka. Asyraf yang sentiasa berada di alam khayalan dan sering menimbulkan pelbagai soalan yang tidak tercapai akal, Haziq yang lincah dan ceria sering membuatku ketawa. Tiada lagi suara nyaring, jerit pekik che’gu Syikin yang sering memarahi Nafis dek kerana kenakalan yang luar biasa. Sekadar menyebutkan beberapa nama, kerana bagiku meraka ni sangat berbekas di hati yang mengajarku erti kesabaran dan ketabahan dalam mendidik insan istimewa. Sekalung penghargaan dan tahniah ku ucapkan, moga ada sinar baru bersama kalian di sana kelak.. KAU TERLALU ISTIMEWA..


( Gambar: Nafis)

(Gambar: Haziq)

(Gambar: Asyraf)

*Nota: Duka cita dimaklumkan video tersebut tidak berjaya diupload kerana file besar sangat.. nanti ku cuba kecilkan sikit.


Al-fatihah buat Mantan YDP PAS Kawasan Sri Gading, Almarhum Ayahnda Haji Sakib Bin Abd. Manan yang telah selamat kembali ke rahmatullah pada jam 3.30 petang Selasa lalu. Beliau di tempatkan ke wad ICU (Unit Rawatan Rapi) Hospital Besar Batu Pahat sejak seminggu yang lalu setelah terlibat dalam kecelakaan jalan raya, Allahyarham tidak sedarkan diri setelah pembedahan kecil membetulkan salur ususnya yang rosak akibat hentakan yang kuat pada perut.

Allahyarham Tn Haji Sakib Bin Manan merupakan Mantan Yang Di Pertua PAS Kawasan Sri Gading. Mesra dangan panggilan ayahnda ini sentiasa kelihatan berada di mana-mana program PAS. Meninggal dunia dalam usia 76 tahun, pernah di anugerahkan sebagai 'Tokoh Bapa Pejuang' dalam Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Johor ke-37 pada tahun lalu. Setelah 26 tahun menerajui PAS kawasan. Anugerah khas ini disampaikan sebagai mengenang jasa beliau yang telah berjaya mewariskan perjuangan PAS kepada 11 daripada 12 anaknya. Antaranya seperti Nor Ain (YDP Kluang/Pegawai Penerangan PAS Johor/wakil tvpas.com Johor), Nor Khalim (Pengarah Jabatan AMAL Johor) dan Nor Ashid (Bekas Tahanan ISA)

Ayahnda memang seorang yang cekal dan sangat positif. Pernah dihalau daripada kampung kerana menubuhkan PAS di Kampung Parit Sonto pada satu ketika dahulu. Menggambarkan ketabahan serta semangat juang dan komitmen beliau bersama jemaah juga memang tidak dapat dinafikan,

Jenazah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Parit Daun, Parit Raja selepas solat Isyak. Semoga Allah merahmati dan membalas keikhlasan Almarhum Ayahnda Haji Sakib Bin Abd. Manan sepanjang kehidupan dengan amal soleh dan menanti Cinta Allah dan Rahmat-Nya di syurga, Insya Allah..


Semoga Ramadhan menjadi medan terbaik untuk kita memuhasabah diri, keluarga, masyarakat dan negara kita ke arah jalan yang diredhai oleh Allah SWT.

Salam Ramadhan dari saya kepada semua rakan taulan serta seluruh umat Islam di Malaysia.

Al-Hamdulillah, Ramadhan datang lagi dengan penuh rahmat dan keberkatan. Marilah kita panjatkan kesyukuran kehadrat Ilahi kerana dipanjangkan umur sehingga kita bertemu semula Ramadhan. Rasulullah seringkali berdoa: "YaAllah, berkatilah kami dalam bulan Syaaban, dan (panjangkan umur kami ) sehingga bertemu dengan Ramadhan.”

Betapa besarnya rahmat Ilahi bilamana kita dipanjangkan umur sehingga bertemu dengan Ramadhan. Kerana sabda Rasulullah s.a.w: “Antara Ramadhan ke Ramadhan adalah pengampunan Allah.” Maksudnya sesiapa yang dipanjangkan umur sehingga dapat bertemu dengan Ramadhan, maka Allah akan mengampuni dosa-dosanya (dosa kecil). Panjang umur bukan kerja kita, ia benar-benar hak mutlak Allah; lantaran itu marilah kita mensyukurinya.

Ramadhan adalah bulan tarbiyyah dan jhad bagi pejuang-pejuang Islam. Kedatangan Ramadhan adalah proses untuk menundukkan hawa nafsu yang sentiasa bergelodak dalam jiwa untuk mengabaikan jihad dan perjuangan. Andainya hawa nafsu boleh ditundukkan dengan jalan lain (bukan berpuasa) nescaya Allah akan mewajibkannya. Namun bilamana Allah mewajibkan puasa kepada umat dahulu dan sekarang, bermakna hawa nafsu hanya dapat dikawal melalui ibadah puasa.

Sejarah jatuh bangun umat dahulu memperlihatkan betapa banyaknya tekanan musuh dan serangan yang dilakukan dalam bulan Ramadhan kerana musuh menganggap umat Islam akan lemah kerana berpuasa. Lihatlah di zaman kita serangan ke atas Iraq, Afghanistan, Bosnia dan lainnya banyak dimulakan dalam bulan Ramadhan. Bahkan kalau kita buka lipatan sejarah lampau, sejak zaman Rasulullah s.a.w hingga zaman tabieen, serangan musuh banyak tertumpu dalam bulan Ramadhan. Kerana itu, Ramadhan janganlah dijadikan alasan untuk mengabaikan jihad; kerana tarbiyah Ramadhan adalah tarbiyah langsung dari Allah, sehingga Allah menyatakan dalam hadis Qudsi: “Puasa kamu untuk ku, maka Akulah yang akan memberi balasannya.”

Saya mengambil kesempatan menyeru kepada semua pendokong parti agar menjadikan Ramadhan ini sebagai bulan menambahkan amalan seharian, hidupkan tadarus al-Qur’an di kalangan ahli usrah. Hidupkan majlis berbuka, tarawikh dan tazkirah di mana-mana ruang yang ada, ambillah kesempatan menderma terutamanya memberi makan kepada orang yang berpuasa, kerana Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa (menyediakan makanan berbuka puasa) maka ia memperolehi pahala sebagaimana orang yang berpuasa, dan tidak kurang sedikitpun pahala puasanya.”

Namun begitu pendekkanlah masa di bazar-bazar ramadhan, dan jangan membeli juadah untuk berbuka dari tangan-tangan yang fasiq, tangan yang tidak mengerjakan sembahyang, dan tangan yang tidak takutkan Allah. Peliharalah setiap suap makanan kerana ia menjadi darah daging, dan darinya menjadi air mani yang melahirkan zuriat kamu. Kutiplah mutiara keberkatan ramadhan pada siangnya dan hidupkanlah ibadahmu pada malamnya, kerana persoalan utama bukan Ramadhan yang penuh keberkatan dan rahmat, tetapi apakah kita memperolehi keberkatan dan rahmat itu.

Salam Ramadhan Kariem.

Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Kenangan bersama cikgu Ali rahmat yang bersara wajib pada hari jumaat lalu, setelah 33 tahun menabur bakti kepada anak bangsa. Semoga segala urusan beliau dipermudahkan..




Selamat Berjuang

Album : Teman Sejati
Munsyid : Brothers
http://liriknasyid.com


Malam siang berlalu
Gerhana kesayuan
Tiada berkesudahan

Detik masa berlalu
Tiada berhenti
Oh syahdunya

Sejenak ku terkenang
Hakikat perjuangan
Penuh onak dan cabalan

Bersama teman - teman
Arungi kehidupan
Oh indahnya o ooo

Berat rasanya
Didalam jiwa
Untuk melangkah
meninggalkan semua

Kasih dan cinta
Yang terbina
Diakan selamanya
O ooo

Slamat berjuang sahabatku
Semoga Alloh berkatimu
Kenangan indah bersamamu
Takkan kubiar dia berlalu
Berjuanglah hingga ke akhirnya
Dan ingatlah semua ikrar kita

Hati ini sayu mengenangkan
Sengsara di dalam perjuangan
Jiwa ku merana dan meronta mengharapkan
Kedamaian dan jua ketenangan wo uwo

Tetapi kuatur pada hakikat
Suka dan duka dalam perjuangan
Perlu ketabahan dan kekuatan
Keteguhan hati berlandaskan iman

Slamat berjuang sahabatku(sahabatku)
Semoga Alloh berkatimu (berkatimu)
Kenangan indah bersamamu (bersamamu)
Takkan kubiar dia berlalu (ooooo)
Berjuanglah hingga ke akhirnya
Dan ingatlah (ingatlah) semua ikrar kita

O o ohooo ho o ohooo


KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Bermula 1 Ogos ini, pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 akan dibenarkan melibatkan diri dalam politik, demikian diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Menurut Mohd Sidek, langkah itu berlandaskan hakikat bahawa guru suatu masa dahulu memain peranan penting dalam memimpin masyarakat dalam senario politik negara.

"Masanya sudah tiba mereka dibenar aktif semula dalam politik," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Bagi tujuan itu, beliau berkata pindaan Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Tindakan sedang diambil untuk mewartakawan pindaan peraturan tersebut, tambahnya.

Sebelum ini, Peraturan 21(2) peraturan tersebut menetapkan hanya pegawai dalam Kumpulan Sokongan boleh bertanding atau memegang jawatan atau dilantik ke dalam apa-apa jawatan dalam suatu parti politik dengan syarat terlebih dahulu mendapat kelulusan bertulis Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha kementerian berkenaan.

Di bawah peraturan baru ini, pegawai pendidikan, selain pengetua atau guru besar di institusi pendidikan dan pegawai yang memegang apa-apa jawatan pentadbiran dalam mana-mana agensi kerajaan, perlu mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran terlebih dahulu.

"Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran tidak boleh mewakilkan kuasanya untuk memberikan kelulusan bertulis itu kepada mana-mana orang lain dan apa-apa keputusan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran adalah muktamad," kata Mohd Sidek.

Beliau berkata syarat-syarat ketat akan dikenakan agar tugas dan fokus utama golongan itu iaitu mendidik tidak terjejas dengan penglibatan mereka dalam politik.

Katanya mereka yang dibenarkan terlibat dalam politik kelak hendaklah mematuhi sepenuhnya Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, termasuk batasan tugas mereka sebagai pegawai perkhidmatan pendidikan dengan aktiviti dalam politik.

-- BERNAMA









Tuhanku ampunkanlah segala dosaku
Tuhanku maafkanlah kejahilan hambaMu

Ku sering melanggar laranganMu
Dalam sedar ataupun tidak
Ku sering meninggalkan suruhanMu
Walau sedar aku milikMu

Bilakah diri ini kan kembali
Kepada fitrah sebenar
Pagi ku ingat petang ku alpa
Begitulah silih berganti

Oh Tuhanku Kau pimpinlah diri ini
Yang mendamba cintaMu
Aku lemah aku jahil
Tanpa pimpinan dariMu

Ku sering berjanji depanMu
Sering jua ku memungkiri
Ku pernah menangis keranaMu
Kemudian ketawa semula

Kau Pengasih Kau Penyayang Kau Pengampun
Kepada hamba-hambaMu
Selangkah ku kepadaMu
Seribu langkah Kau pada ku

Tuhan diri ini tidak layak ke syurga Mu
Tapi tidak pula aku sanggup ke neraka Mu

Ku takut kepadaMu
Ku harap jua padaMu
Moga ku kan selamat dunia akhirat
Seperti rasul dan sahabat


Segala puji bagi ALLAH yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, Yang Maha Tinggi lagi Maha Perkasa, Yang Maha Menguasai Segala-galanya dan Tiada Tandingannya. Segala puji bagi ALLAH yang menguasai hidup dan mati kami, keluasan dan kesempitan kehidupan kami, kesenangan dan kesusahan hayat kami. Segala puji bagi ALLAH yang pada tanganMu terikat segala-galanya, yang pada kudratMu terkawal segala-galanya.

Selawat dan salam atas kekasihMu, Muhammad Rasulullah SAW, seluruh ahli keluarganya, para sahabatnya, serta semua mereka yang mengikuti mereka dari semasa ke semasa hinggalah pada hari yang KAU janjikan akan hancur segala-galanya.

Ya RABB, Ya JABBAR, Ya QAHHAR, Ya ‘AZIZ, KAU mendengar segala bicara kami, KAU melihat segala apa yang berlaku pada kami, KAU mengetahui segala-galanya, lebih dari apa yang kami ketahui. Hanya kepada KAU sahajalah kami tunduk menghinakan diri, hanya kepada KAU sahajalah kami sujud taat merendah diri, hanya kepada KAU sahaja yang kami adukan segala masalah kami,hanya kepada KAUsahaja segala pertolongan kami pinta, hanya kepada KAU sahaja tempat kami bergantung dalam segala hal dan perkara.

Maka bantulah kami, maka bantulah kami, maka bantulah kami.

Ya ALLAH, Ya ALLAH, Ya ALLAH,

Saudara-saudara kami di Gaza dan seluruh Palestin sedang menderita dihentam oleh kaum yang pernah mengkhianatiMu. Saudara-saudara kami di Gaza dan seluruh Palestin sedang teruk diserang oleh musuh-musuhMu yang hendak memadamkan deenMu. Saudara-saudara kami di Gaza dan seluruh Palestin sedang tersepit dan terhimpit atas tindakan kaum Yahudi yang ingin memusnahkan deenMu.

Sesungguhnya KAU ya ALLAH, lebih tahu apa yang berlaku terhadap saudara kami di Gaza khasnya, dan di seluruh Palestin amnya. Maka kepada KAU sahajalah yang kami mampu adukan hal kami dan hal mereka. Sesungguhnya Ya ALLAH, tangan dan kaki kami terikat dari membantu mereka. Hanya doa dan aduan kepadaMu sahaja yang mampu kami lakukan.

Ya ALLAH, KAU perkuatkanlah saf pejuang-pejuang yang mempertahankan deenMu di Gaza dan seluruh Palestin. Ya ALLAH, KAU bantulah hamba-hambaMu yang sedang bermatian mempertahankan deenMu di Gaza dan seluruh Palestin. Ya ALLAH, KAU bantulah hamba-hambaMu yang sedang dihimpit oleh musuh-musuh yang ingin memadamkan deenMu.

Ya ALLAH, KAUlah tuan kepada Masjidil Aqsa, KAUlah tuan kepada tanah suci Baitul Muqaddas, KAU jugalah tuan kepada nyawa-nyawa saudara kami yang sedang bermatian bertahan dan berjuang di Gaza dan seluruh Palestin. Maka dengan penuh hina, kami HAMBA, memohon kepada KAU, TUAN kepada segala-galanya untuk membantu segala benda yang menjadi milikMU. Bantulah hamba-hambaMu ya ALLAH, bantulah mereka, bantulah mereka.

Ya ALLAH, Ya Hayyu Ya Qayyum, Ya Zal Jalali Wal Ikram,

Satukanlah saf pejuang-pejuangmu di Gaza dan seluruh Palestin. Kuatkanlah kaki-kaki mereka. Bantulah mereka dengan tentera-tentera yang KAU pernah turunkan di medan Badar pada masa dahulu, hantarkanlah angin taufan membantu mereka seperti KAU hantarkan ketika perang Khandaq, bantulah mereka dengan tentera-tentera tak terlihat seperti KAU lakukan ketika perang Hunain, jagalah mereka ya ALLAH, sebagaimana KAU menjaga tentera-tentera muslimin ketika Perang Mu’tah. Pertahankanlah mereka ya ALLAH, sebagaimana KAU menjaga RasulMu di medan Uhud.

Ya ALLAH, Ya ALLAH, Ya ALLAH,

Tangan kami pendek tak tercapai ke sana, tanganMu jugalah yang berada di atas kekuatan kesatuan mereka. Bantulah mereka saudara-saudara kami di Gaza itu ya ALLAH. Bantulah mereka Ya ALLAH.

Ya ALLAH,

Sesungguhnya Yahudi dan segala kuncu-kuncunya, dengan segala manusia yang bersekongkol dengannya, telah melampau-lampau. Mereka telah membunuh ramai para nabi dan RasulMu, mereka juga menyakiti hati Rasulullah SAW kekasihMu. Hari ini mereka hendak memadamkan ummat Rasulullah SAW kekasihMu. Sesungguhnya mereka adalah kaum yang menderhaka kepadaMua tanpa henti. Telah KAU hantar ratusan utusan untuk mereka, tetapi tidak mereka ikuti. Hinggalah hari ini ya ALLAH, mereka telah menyakiti saudara-saudara kami, mereka hendak memadamkan deenMu ya ALLAH….

Sesungguhnya Ya ALLAH, KAU jugalah pemilik nyawa dan hati mereka, KAU jugalah pemilik kekuatan dan keperkasaan mereka. Pada tangan KAU lah terletak segala perancangan dan kemampuan mereka.

Kami memohon kepadaMu ya ALLAH, agar KAU tarik segala keperkasaan mereka dan berikan kepada mujahidin yang berjuang atas jalanMu, tariklah segala keberanian mereka, dan berikanlah kepada mujahidin yang berjuang atas jalanMu, tariklah segala kekuatan mereka, dan berikanlah kepada mujahidin yang sedang mempertahankan deenMu.

Ya ALLAH, KAU lah pemilik ketakutan dan kelemahan, KAU lah pemilik kehancuran dan kehinaan. Maka campakkanlah ketakutan atas hati-hati pejuang yahudi dan kuncu-kuncunya. Lemahkanlah segala kekuatan mereka. Hancurkanlah segala keperkasaan mereka. Hinakanlah segala kemuliaan mereka.

Ya ALLAH, hancurkanlah mereka dengan segala kekuatanMu. Ya ALLAH, hantarkanlah api dari langit yang pernah KAU turunkan atas kaum ‘Ad, hantarkanlah teriakan yang pernah KAU hantarkan pada kaum Thamud, hantarkanlah taufan yang pernah kau hantarkan pada Kaum Nuh, tenggelamkanlah mereka seperti mana kau tenggelamkan Firaun dan Haman. Ya ALLAH, gegarkanlah bumi mereka, bunuhlah semua tentera mereka sehingga tidak tertinggal seorang pun dari mereka.

ALLAH.. ALLAH.. ALLAH..

Kami ini lemah, mungkin kerna dosa kami maka saudara kami diuji sebegini rupa. Maka kami sujud menghina diri, kami meletakkan dahi kami ke tanah memohon kepadaMu RABBI, agar KAU maafkan dan ampunkan dosa-dosa kami. Ya ALLAH… KAMI hambaMu memohon ampun, KAMI hambaMu memohon maaf atas segala kesilapan dan kelalaian kami. Mungkin kerna kelalaian kami maka saudara kami diuji. YA ALLAH…

Ya ALLAH, KAU sahajalah yang sentiasa bersama-sama hamba-hambaMu. Kami memohon kepadaMu ya ALLAH, sentiasalah KAU berada di sisi pejuang-pejuang yang mempertahankan deenMu di Gaza dan Palestin. Ya ALLAH… kasihanilah mereka. Andai dosa kami besar sehingga KAU tidak memandang kami, maka KAU pandanglah darah-darah yang tersembur dari tubuh pejuang-pejuangMu di Gaza dan Palestin sana. YA ALLAH.. kasihanilah mereka. Ya ALLAH, kasihanilah mereka.

Ya ALLAH, bantulah mereka dan bantulah kami. Kuatkanlah saudara-saudara kami di Gaza dan Palestin itu dan kuatkanlah kami. YA ALLAH, musnahkanlah musuh-musuh mereka dan musuh-musuh kami. YA ALLAH, bantulah saudara-saudara kami dan bantulah diri kami.

YA ALLAH yang sentiasa mendengar doa, ya ALLAH yang lebih dekat dari urat nadi kami, ya ALLAH yang telah berjanji kepada kami,

“Berdoalah kepadaKu, nescaya akan AKU perkenankan”

Ya ALLAH yang telah berkata kepada kami,

“Kalau hambaKu bertanya kepadamu mengenai AKU, sesungguhnya AKU amat dekat…”

Maka kami menuntut janji-janji itu. Perkenankanlah doa-doa kami. Bantulah kami. Bantulah saudara-saudara kami. Sesungguhnya kami yang lemah ini hanya mempunyai kekuatanMu sebagai payung dari hujan kejahatan musuh-musuh kami dan musuh-musuhMu.

Ya RABB… YA RABB… YA RABB..

KAU Sahaja tempat kami mengadu atas kesusahan kami dan kelemahan kami

KAU makbulkanlah doa ini atas doa hamba-hambaMu yang soleh, KAU makbulkan doa ini atas amalan soleh yang telah kami lakukan secara sengaja atau tak sengaja. KAU makbulkanlah doa ini atas cinta dan kasihMu kepada Rasulullah SAW…

Ya ALLAH… Ya ALLAH… Ya ALLAH…

Selamatkanlah kami hamba-hambaMu ini dari tangan-tangan yahudi dan segala kuncu-kuncunya.

Sesungguhnya KAU sahajalah penjaga kami, kepada KAU sahajalah kami berharap, kepada KAU sahajalah kami bergantung harap.

Tinggikanlah ISLAM, tinggikanlah ISLAM, tinggikanlah ISLAM.

Segala puji kami rafa’kan kepadaMu Yang Paling Besar, Yang Paling Kuat, Yang Paling Perkasa, Yang Paling Agung. Selawat dan salam kami utuskan kepada Rasulullah SAW, seluruh ahli keluarganya, seluruh sahabatnya, dan semua mereka yang menuruti mereka hingga masa ke semasa hingga ke hari kiamat.

Amiiin…


PUTRAJAYA, 12 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu menandatangani kad ucapan Hari Guru sempena sambutan Hari Guru Ahad ini, di pejabatnya di sini.

Turut menandatangani kad itu ialah timbalannya yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menteri-menteri kabinet yang lain pada pukul 9.30 pagi sebelum mesyuarat mingguan Kabinet bermula.

Acara menandatangani kad ucapan berukuran 24x16 inci itu dibuat sebagai tanda terima kasih Perdana Menteri bersama timbalannya dan menteri-menteri Kabinet kepada khidmat bakti guru-guru di seluruh negara.

Sebaik sahaja menandatanganinya, Najib bersama Muhyiddin serta menteri-menteri Kabinet menyampaikan ucapan ringkas dengan mengucapkan "Selamat Hari Guru, cikgu...".

Kad yang ditandatangani itu akan disampaikan oleh Muhyiddin kepada wakil guru ketika sambutan Hari Guru Ke-39 pada Ahad ini yang akan diadakan di Universiti Malaysia Pahang, Kuantan, Pahang.

-- BERNAMA


BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979


Alhamdulillah, akhirnya ku berkesempatan mengupdate gak blog ni disebabkan oleh kesibukan melanda. Ni baru beberape ari tenet ku pulih sepenuhnya setelah 2 minggu kerja-kerja penyelenggaraan tergendala. Semenjak dua menjak ni, kesibukan menyebabkan kesihatanku sedikit terjejas. Dari awal tahun, hingga la ke ari ni dah 4 ari ku cuti rehat dan 2 ari ku cuti sakit. cuti rehat ku berbaki 3 ari je, bos dah bising..

Bos: che'gu dah 2 kali ambil cuti rehat dalam bulan ni!
che'gu kakashi: yup..
Bos: sepatutnya che'gu hanya dibenarkan ambil cuti rehat dalam tempoh 2 bulan sekali je. nak ikutkan, saya tak boleh bagi cuti. Ada dalam pekeliling ni.
che'gu kakashi: yup..
Bos: Baki cuti tinggal berape ari?
che'gu kakashi: errr.. 3
Bos: lain kali, pandai-pandai la uruskan cuti ye!
che'gu kakashi: baik!
ku dah pindah rumah baru, tapi rumah lame..

Seringkali kita ucapkan tahniah dan selamat pengantin baru kepada kenalan kita. Serta kita mendoakan bahagia berkekalan hingga ke anak cucu. Eh .. hingga ke anak cucu sajakah? Atau hingga ke akhir hayat? Takkan sampai akhir hayat saja, selepas tu macam mana pula alam akhirat?

Sebenarnya apakah ucapan yang paling baik untuk mempelai-mempelai yang baru mendirikan rumahtangga?

Di dalam sebuah hadith, telah diriwayatkan bahawa Aqil Ibnu Ali Abi Talib r.a. telah menikahi seorang wanita dari kalangan Bani Jusham. Lalu orang ramai datang dan berkata, “Semoga berbahagia dan ramai anak.”

Mendengar yang demikian Aqil berkata, “Janganlah kamu mengatakan demikian, kerana sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah melarang yang demikian.”

Mereka lalu bertanya, “Jika demikian, apakah yang patut kami katakan wahai Abu Yazid?”

Aqil menjawab, “Katakan barakah2.jpg (Semoga Allah memberkati kamu dan melimpahkan berkat kepada kamu). Begitulah yang diperintahkan kepada kita”.[1]

Di dalam sebuah hadith riwayat Imam Bukhari, diceritakan Rasullulah s.a.w. ternampak kesan Sufrah (sejenis wangian berwarna kuning) di baju Abdul Rahman Bin Auf r.a. lalu beliau bertanya, “Apakah ini?”

Abdul Rahman r.a. menjawab, “saya telah mengahwini seorang wanita dan telah membayar mas kahwin seberat sebiji kurma.”

Rasulullah s.a.w. bersabda, “ barakah1.jpg (semoga kamu diberkati). Adakan walimah walaupun dengan seekor kibash”[2]

Menurut Abu Hurairah r.a. apabila mendoakan seseorang yang baru berkahwin, Rasulullah s.a.w. akan berkata, “

barakah3.jpg(Semoga Allah memberkati kamu dan melimpahkan berkat kepada kamu dan menghimpunkan kedua kamu di dalam kebaikkan.)”[3]

Menurut Imam Nawawi di dalam Al-Azkar adalah disunatkan kita mengucapkan seperti ucapan-ucapan Rasulullah s.a.w. di atas. Menurut beliau lagi, adalah makruh kita mengucapkan “Semoga berbahagia dan banyak anak.”[4]

Mana tidaknya, kehidupan pasangan yang diberkatiNya sudah tentu gembira dan bahagia. Sedangkan kehidupan pasangan yang gembira dan bahagia, belum tentu mendapat keberkatanNya.

Wallahu’alam.


Nabi SAW sendiri ada mengingatkan kepada kita:

“Rahsiakan pertunangan dan hebahkanlah (maklumkan) tentang perkahwinan” (Hadith riwayat Ahmad dari Abdullah bin Zubair Radhiyallahu ‘anhu, dan disahihkan oleh al-Albani di dalam Irwa’ al-Ghalil)


Pertunangan adalah suatu komitmen yang belum pasti. Ia mungkin berakhir dengan perkahwinan, boleh juga tamat pada kesudahan yang tidak diharapkan. Namun ulama’ menjelaskan bahawa di antara hikmah Islam menggesa pertunangan itu tidak dihebah-hebahkan ialah kerana untuk menjaga nikmat ini daripada dirosakkan oleh hasad manusia yang bertindak tidak baik. Ia dijelaskan demikian di dalam Hashiah al-’Adawi ‘ala Sharh Mukhtasar Khalil.


Kerahsiaan pertunangan itu juga menjadikan kita terkawal dari berkelakuan seperti sudah bersuami isteri kerana hakikatnya seorang lelaki dan perempuan yang bertunang, masih asing dan sedang berada di medan ujian mengawal diri dan bijak mengatur komunikasi dengan pasangan yang bakal menemani hidup… selama-lamanya sampai mati.


Alfatihah buat mak uda ku, Almarhumah Puan Asiah Binti Marsan yang telah selamat kembali ke rahmatullah pada jam 4.30 pagi Jumaat semalam. Beliau di kejarkan ke Hospital Besar Kota Tinggi pada awal jam 3 pagi setelah mengadu sakit perut, kemudian di sahkan meninggal oleh doktor kerana sakit paru-paru berair. Baru minggu lalu menyambut hari ulang tahun kelahirannya yang ke-59 pada sabtu, 23 Jan 2010. Kali terakhirku sempat berjumpa dengan beliau dalam sebuah majlis perjumpaan keluarga pada 27 Dis 2009, beliau dan suami merupakan penggerak utama majlis tersebut.

Jenazah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Felda Air Tawar 4 senelum solat jumaat. Semoga Allah merahmati dan membalas keikhlasan Almarhumah Asiah Binti Marsan sepanjang kehidupan dengan amal soleh dan menanti Cinta Allah dan Rahmat-Nya di syurga, Insya Allah..

Bismillahirrahmanir rahim...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani

Salam sejahtera buat calon zaujahku yang dihijab pertemuan olehNya sehingga detik kita disatukan dengan lafaz ijab bersaksi qabul berwali. Semoga langkahmu tangkas dengan semangat juang Islam. Walau apapun yang kita lakukan, dasarilah ia dengan memohon keredhaanNya supaya setiap langkah itu beroleh keberkatan.

"Ya Allah, gembirakanlah aku dengan redhaMu"

Kukira untaian doa srikandi iman, Sayyidah Nafisah binti Hasan bin
Zaid bin Hasan bin Ali bin Abu Thalib ini mampu menyuburkan hatimu
dengan Nur KasihNya.

"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikannya di antaramu rasa kasih dan sayang.¨ (Ar-Rum: 21)

Telah dikhabarkan bahawa engkau adalah calon yang sekufu untukku, bakal menjadi peneman solehah bersamaku merentas becaknya denai-denai perjuangan Islam ini. InsyaAllah. Kesesuaian ini telah kupohon dalam setiap doaku padaNya, dalam setiap sujudku, dalam setiap ibadah hajat dan istikharahku selama ini. Tanpa jemu walaupun pertemuan itu masih dirahsiakan. Besar kurniaanNya kepada kita. Hijab itu membolehkan aku dan kau melengkapkan diri masing-masing dengan bekalan agama agar baitul muslim kita nanti tidak suram dengan Nur keimanan yang malap.

Calon zaujahku yang dirahmati,

"Dinikahi seorang wanita itu kerana empat perkara hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah hal keagamaannya, maka beruntunglah kedua-dua tanganmu.."

Bukan harta yang kuperlukan, bukan keturunan yang menjadi keutamaan, bukan kecantikan yang kuidamkan, tetapi kefasihan agamamu itu yang aku dambakan. Itulah hikmah sekufu yang menjadi asas usrah muslim antara aku, kau dan anak-anak pewaris ketauhidan Islam dalam mengESAkan Allah Yang Satu.

"Hai manusia, sesungguhnya Kami ciptakan kamu dan lelaki dan perempuan dan menjadikan kamu berbangsa--bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi maha Mengenal." (Al-Hujarat: 13)

Sirah telah membuktikan bahawa seorang Khalifah mulia menjodohkan puteranya dengan seorang gadis penjual susu lantaran iman yang kuat menjadi benteng gadis itu daripada menderhakai Allah. Akhlak indah yang menjadi pakaian gadis suci itu membuatkan hati Khalifah terpaut. Inilah kisah yang ingin aku kongsikan denganmu wahai calon zaujahku. Pada suatu malam Khalifah Umar Ibnu Khattab sedang membuat tinjauan terhadap rakyat-rakyatnya. Sampailah Umar ra. di sebuah rumah penduduk, ketika itu mereka sedang berbincang tentang sesuatu. Umar mendengar semua perbincangan mereka.

Seorang ibu berkata kepada anak perempuannya: "Anakku bangunlah, serta campurkanlah susu itu dengan air. Puterinya menjawab: Apakah ibu belum mendengar larangan daripada Amirul Mukminin itu? Ibu itu bertanya lagi:"Apakah larangan Amirul Mukminin itu?" Puterinya menjelaskan: "Wahai ibu, sesungguhnya Amirul Mukminin melarang umat Islam menjual susu yang dicampurkan dengan air"Ibu itu berkata lagi: "Cepatlah engkau campurkan susu itu dengan air, tak usahlah kamu takut dengan Saidina Umar, kerana ia tidak melihatnya" Puterinya menjawab: "Wahai ibuku, memang Umar ra. tidak melihat kita, tetapi Tuhan yang disembah Umar melihat kita.

Maafkan saya wahai ibuku, kerana tidak dapat mematuhi permintaanmu. Saya tidak mahu menjadi orang yang munafik mematuhi perintah di hadapan orang ramai, tetapi melanggarnya apabila di belakang mereka."Khalifah Umar ra. yang terkenal tegas itu menjadi terharu hatinya. Umar ra. merasa bangga dengan ketaqwaan gadis miskin penjual susu tersebut. Setelah pagi, Saidina Umar memerintahkan puteranya Ashim supaya pergi ke rumah gadis tersebut.

"Wahai anakku, pergilah engkau ke sebuah rumah penduduk, di dalamnya ada gadis penjual susu, jika ia masih sendiri, pinanglah ia. Mudah-mudahan Allah akan memberikan kurnia kepadamu anak yang soleh."

Ternyata dugaan Saidina Umar ra. itu benar sekali. Ashim menikah dengan wanita yang mulia tersebut dan mendapat seorang anak perempuan yang bernama Ummu Ashim. Kemudian Ummu Ashim berkahwin dengan Abdul Aziz bin Marwan, dan mereka mendapat seorang anak lelaki yang bernama Umar bin Abdul Aziz, yang kemudian menjadi seorang khalifah yang terkenal dan bijaksana.

Jika asas baitul muslim itu kukuh, tidak mustahil ia mampu melahirkan pejuang-pejuang agamaNya yang berpedangkan taqwa dan berperisaikan iman. Di hati mereka bercahaya dengan kasih sayang Ilahi kerana mereka lahir daripada bait penyatuan dua jiwa yang hidup berbumbungkan sunnah berpelitakan al-Quran, berdindingkan wasatiah dan qanaah. Itulah hakikat sebuah baitul muslim.

Calon zaujahku yang telah dijanjikanNya ,

" Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka".(An- Nissa':34)

Surah yang diberikan kemuliaan buatmu dan insan yang bergelar wanita. Istimewanya dirimu sehinggakan Allah menukilkan pesananNya dalam surah khusus buatmu. Dan itulah janji-janji Allah bahawa seorang wanita yang solehah itulah mutiara syurga buat suaminya walaupun kekayaan duniawi tidak terhampar di kakimu.

Maafkan aku kiranya tiada harta yang mewah, mutiara atau kilauan permata kupersembahkan dalam hidupmu. Tetapi, aku hanya mampu menjanjikan hantaran yang paling berguna untuk kita berdua sepanjang zaman. Itulah panduanNya, Qalamullah. Islam menegaskan agar ku ajar dirimu mengenal Allah, zat yang agung. Itulah kunci kesempurnaan yang hakiki.

Seringkali kau mengeluh, kau hanya insan lemah. Sedarilah bakal isteriku, kelemahanmu itu adalah kekuatan yang dikurniakan Allah buatmu. Dari kelemahan itu, terletaknya rahim yang telah melahirkan seorang Rasul, seorang Nabi, seorang abid dan juga pejuang jihad yang Allah janjikan syurga demi setitis darah mereka.

Ia lahir daripada jerih doamu, penat sabarmu dan lelah tabahmu. Akal setipis rambut, tebalkan dengan ilmu.Hati serapuh kaca,kuatkan dengan iman. Perasaan selembut sutera,hiasilah dengan akhlak. Bantulah aku dalam mentakrifkan pernikahan ini. Semoga ia menjadi wasilah sebuah pembangunan insaniyyah yang akan menjadi khemah dakwah dan tarbiyyah.

Bakal isteriku yang dirahmati,

Titipan ini sudah sampai ke penghujungnya. Namun, doaku padamu tidak pernah berakhir. Seperti doaku padaNya, moga saf antara aku dan dirimu akan bersama-sama melalui siratulmustaqim yang lurus menuju jannahNya yang dirindui. InsyaAllah. Andai ada ingatan darimu, pohonkan dariNya moga aku terus tegak dalam memperjuangkan kalimahNya walau dijengah mehnah lantaran zaman ini adalah pengakhiran sebuah destinasi.. Dunia sudah terlalu tua, ia hanya menanti masa.

Salam buat teman solehahku...

Yang Benar,
bakal suamimu.
Related Posts with Thumbnails