Bidadari Dari Timur…
Seandainya direntasi laut segara,
Tiada yang bisa menandingi lautan tabahmu,
Seandainya gunung dijadikan pasak,
Belum tentu seteguh setiamu,
Seandainya ditawarkan buatku seorang isteri,
Kau yang ingin kubawa hingga ke negeri abadi…
Penerimaan yang begitu menggalakkan terhadap buku ATN, adalah bukti bahawa persoalan cinta adalah persoalan yang besar. Mungkin ada sebahagian pembaca membeli buku ATN kerana mahu mencari formula cinta, tetapi akhirnya yang ditemui adalah hala tuju sebuah kehidupan. Cinta hanyalah terjemahan kepada pelbagai peristiwa dalaman yang berlaku di susuk tubuh seorang makhluk bernama manusia.
Kali ini perasaannya mungkin berbeza. BERCINTA SAMPAI KE SYURGA adalah suatu pelayaran di tengah lautan tanda tanya, tentang realiti sebuah kehidupan berumahtangga. Lautan yang adakalanya hening dan damai memercik bahagia, ada masanya pula dilanda ribut taufan yang bisa menenggelamkan manusia yang cuba menduga laut cinta dengan kail yang kadar sejengkal.
Realiti yang lebih menguji dua kaki yang memijak bumi, juga tangan yang menggapai awan.
RINDU BAU POHON TIN
Semasa turun di Lapangan Terbang Antarabangsa Doha, saya terhidu sesuatu.
Dalam merah senja terbenamnya mentari di bumi Qatar, hembusan angin membawa suatu aroma yang amat saya kenali. Baunya tajam menusuk jiwa, harumannya pantas mengheret saya ke dekad silam yang penuh kenangan.
“Demi buah Tin dan demi buah Zaitun…,” demikian sumpah Allah di dalam Firman yang agung.
Buah yang menjadi simbol Dataran Syam, bumi Palestin.
Setelah lama tidak menjejakkan kami ke bumi Arab, kunjungan saya ke Doha juga Dubai, telah membuka hati saya kepada sebuah kerinduan. Bukan merindukan cinta, bukan mengkhayalkan impian. Tetapi rindu kepada sebuah perjalanan Tarbiyah yang penuh suka dan duka, senang dan susah. Kembara anak rantau mengejar ilmu dan cita-cita di Dataran Syam…
Saya merindukannya.